Nama Bulan Islam
Dalam Islam, terdapat satu sistem kalendar yang dikenali sebagai Kalendar Hijrah atau Kalendar Islam. Ia merupakan kalendar lunar, berbeza dengan kalendar Gregorian yang berdasarkan peredaran matahari. Kalendar Islam digunakan oleh umat Islam untuk mengetahui tarikh-tarikh Islam dan menetapkan hari-hari penting seperti Muharam, Asyura, bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, serta ibadah Haji.
Setiap bulan dalam kalendar Islam bermula apabila anak bulan (hilal) kelihatan, dan oleh itu, bilangan hari dalam sebulan boleh jadi 29 atau 30 hari, bergantung kepada rukyah (pemerhatian anak bulan). Jumlah keseluruhan hari dalam setahun Hijrah adalah sekitar 354 atau 355 hari iaitu lebih pendek daripada tahun dalam kalendar Masihi, yang mengandungi 365 atau 366 hari. Disebabkan perbezaan ini, tarikh-tarikh Islam berubah setiap tahun jika dibandingkan dengan kalendar biasa.
Nama bulan Islam dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab adalah seperti yang darj (diberikan) di bawah

Senarai Bulan Islam
Berikut adalah senarai penuh nama bulan dalam kalendar Islam:
- Muharram
- Safar
- Rabiulawal
- Rabiulakhir
- Jamadilawwal
- Jamadilakhir
- Rejab
- Syaban
- Ramadhan
- Shawwal
- Zulkaedah
- Zulhijjah
Nama Bulan Islam Dalam Bahasa Arab
- (المحرّم) Muharram
- (صفر) Safar
- (ربيع الأول) Rabiulawal
- (ربيع الآخر) Rabiulakhir
- (جمادى الأولى) Jamadilawwal
- (جمادى الآخرة) Jamadilakhir
- (رجب) Rejab
- (شعبان) Syaban
- (رمضان) Ramadhan
- (شوّال) Shawwal
- (ذو القعدة) Zulkaedah
- (ذو الحجة) Zulhijjah
Makna dan Sejarah Setiap Bulan Islam
Muharram
Muharam ialah bulan pertama dalam Kalendar Islam dan juga menandakan permulaan Tahun Baru Islam. Ia merupakan salah satu daripada empat bulan suci yang dimuliakan dalam Islam, di mana umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan baik dan menjauhi sebarang bentuk pertumpahan darah atau pergaduhan. Antara amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam bulan ini ialah puasa sunat pada 10 Muharam, yang dikenali sebagai Hari Asyura, bagi mengingati pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Safar
Safar ialah bulan kedua dalam Kalendar Islam. Dalam sejarah, bulan ini pernah dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat Arab Jahiliah yang menganggapnya membawa nasib malang, namun dalam Islam, kepercayaan tersebut ditolak kerana tiada bulan yang membawa sial. Islam mengajar bahawa segala kebaikan atau keburukan datang daripada Allah. Safar merupakan masa yang sesuai untuk memperkukuh keimanan dan meninggalkan kepercayaan karut yang tidak berlandaskan agama.
Rabiulawal
Rabiulawal ialah bulan ketiga dalam Kalendar Islam dan sangat istimewa kerana ia merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tarikh 12 Rabiulawal sering diraikan oleh umat Islam sebagai Maulidur Rasul untuk memperingati hari kelahiran baginda. Selain itu, beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam juga berlaku dalam bulan ini, termasuk penghijrahan Nabi SAW ke Madinah dan wafatnya baginda. Bulan ini menjadi peluang untuk umat Islam memperbanyakkan selawat, mengenang perjuangan Rasulullah SAW, serta mencontohi akhlak dan sunnahnya dalam kehidupan seharian.
Rabiulakhir
Rabiulakhir, juga dikenali sebagai Rabiul Thani, ialah bulan keempat dalam Kalendar Islam. Walaupun tidak sebanyak peristiwa besar seperti Rabiulawal, bulan ini tetap merupakan masa yang baik untuk mempertingkatkan amal ibadah dan memperbaiki diri. Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa tokoh penting yang dilahirkan atau wafat dalam bulan ini, termasuk para ulama dan pejuang Islam. Umat Islam digalakkan untuk terus istiqamah dalam beribadah dan mencontohi ajaran Islam sepanjang bulan ini seperti bulan-bulan lain.
Jamadilawwal
Bulan kelima, permulaan kepada musim panas di Arab. Namanya berasal daripada perkataan “jamad” yang bermaksud kering atau beku.
Jamadilakhir
Jamadilakhir, juga dikenali sebagai Jamadil Thani, ialah bulan keenam dalam Kalendar Islam.
Rejab
Rejab ialah bulan ketujuh dalam Kalendar Islam dan salah satu daripada empat bulan suci. Peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini ialah Isra’ dan Mikraj, iaitu perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit untuk menerima perintah solat. Rejab juga dianggap sebagai masa untuk mula bersedia menyambut bulan Ramadan.
Syaban
Syaban ialah bulan kelapan dalam Kalendar Islam. Bulan ini datang sebelum Ramadan dan dianggap sebagai masa untuk membuat persediaan rohani menyambut bulan puasa. Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa sunat dalam bulan Syaban. Malam 15 Syaban, yang dikenali sebagai Nisfu Syaban, juga dianggap istimewa oleh ramai umat Islam. Ia adalah masa yang baik untuk berdoa, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.
Ramadhan
Ramadhan ialah bulan kesembilan dalam Kalendar Islam dan merupakan bulan yang paling mulia bagi umat Islam. Dalam bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Selain menahan lapar dan dahaga, puasa juga mengajar kita erti sabar, syukur, dan keikhlasan. Ramadhan juga dikenali sebagai bulan ibadah, kerana umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan solat, membaca al-Quran, bersedekah, dan memohon keampunan. Malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, berlaku dalam salah satu malam ganjil 10 hari terakhir Ramadhan.
Shawwal
Shawwal ialah bulan kesepuluh dalam Kalendar Islam dan datang selepas Ramadhan. Bulan ini bermula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa. Pada hari ini, umat Islam disunatkan untuk bergembira, saling bermaafan dan mempererat silaturahim.
Zulkaedah
Zulkaedah ialah bulan kesebelas dalam Kalendar Islam dan merupakan salah satu daripada empat bulan suci dalam Islam. Zulkaedah juga menjadi bulan persiapan bagi mereka yang akan menunaikan ibadah haji.
Zulhijjah
Zulhijjah ialah bulan kedua belas dan terakhir dalam Kalendar Islam. Ia adalah salah satu daripada empat bulan suci dan sangat istimewa kerana dalam bulan inilah ibadah Haji dilaksanakan di Mekah. Hari ke-10 Zulhijjah disambut sebagai Hari Raya Aidiladha, di mana umat Islam yang mampu akan melakukan ibadah korban sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT, mengikuti kisah Nabi Ibrahim A.S.